Berita Semasa Kelantan

Berita Semasa Kelantan (80)

 

JELI – Pada 30 Januari 2014 bersamaan 28 Rabiul Awal 1435H, Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Hj. Ahmad Bin Yakob telah melakukan satu lawatan kerja ke jajahan Jeli. Rombongan Menteri Besar tiba di Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli untuk sesi taklimat mengenai pembangunan jajahan Jeli sebelum bertolak ke Pejabat Majlis Daerah Jeli (MDJ) untuk Majlis Penyerahan Bangunan Baru MDJ.

 

Pada majlis penyerahan itu Pengerusi Kelkon, Wan Ismail Wan Jusoh dan Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, Mohd Sabri Abdullah menyerahkan gambar pejabat baru MDJ kepada Menteri Besar sebagai gimik perasmian. Bangunan baru MDJ yang terletak bersebelahan Padang Kemahkotaan telah dibina dengan kos RM2.5 juta. Bangunan baru itu dibina anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) iaitu Kelkon Sdn Bhd dengan usahasama MDJ.

 

Berucap dalam majlis tersebut Yang Dipertua MDJ, YABrs Haji Abd. Manan bin Ali berkata bandar Jeli sudah dianggap setanding dengan bandar-bandar lain dengan terbinanya bangunan-bangunan baru.

 

YAB Ustaz Dato’ Hj. Ahmad Bin Yakob pula memberitahu kerajaan negeri membeku sementara permohonan hak milik tanah di jajahan Jeli bagi membolehkan pensrukturan semula dilakukan.

 

“Ini bagi mengelakkan seseorang pemohon memiliki sehingga berpuluh ekar tanah, sedangkan orang lain dapat sedikit. Pembekuan sementara ini bagi membolehkan kelulusan permohonan tanah diberi secara lebih adil dan telus,” ujarnya

 

Pada majlis itu juga mangsa-mangsa banjir di Jeli pada awal Januari lalu menerima sumbangan daripada kerajaan negeri. Penduduk miskin dan warga emas juga menerima sumbangan.

KOTA DARULNAIM - Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam bagi Tahun 2014 telah diadakan pada 7 Rabiul Awal 1435H bersamaan 9 Januari 2014M bertempat di Dewan Bunga Teratai, Kompleks Kota Darulnaim. Majlis ini diadakan bersempena tahun baru 2014 serta untuk meraikan Setiausaha Kerajaan Kelantan yang baru, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Faudzi bin Haji Che Mamat. Majlis ini juga merupakan perjumpaan sulung beliau bersama penjawat awam negeri Kelantan. Yang Amat Berhormat Ustaz Dato’ Menteri Besar Kelantan, Yang Berhormat Dato’ Timbalan Menteri Besar Kelantan, Ahli-Ahli EXCO Kelantan, Ketua-Ketua Jabatan dan Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri adalah antara yang hadir dalam majlis tersebut.

 

Dalam majlis ini, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Faudzi menyeru supaya semua kakitangan awam melakukan perubahan-perubahan positif terhadap perkhidmatan awam negeri Kelantan. Hal ini kerana tanda aras kemajuan terletak kepada kecekapan sistem penyampaian sektor awam. Menurut beliau, sikap rasa selesa dan sambil lewa perlu dikikis dalam budaya kerja perkhidmatan awam negeri kelantan untuk mencapai sasaran “WORLD CLASS”. Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan bekas Pegawai Kewangan Negeri Kelantan turut menekankan mengenai langkah-langkah mengurangkan defisit dalam perbelanjaan sektor awam. Berikutan keadaan ekonomi negara yang tidak menentu, beliau menyeru semua penjawat awam supaya berjimat dan berhemat dalam membelanjakan dana awam.

 

Dalam majlis yang sama, Yang Amat Berhormat Ustaz Dato’ Menteri Besar Kelantan turut menyampaikan amanat beliau kepada kakitangan awam Kota Darulnaim. Menurut beliau, fokus utama tahun 2014 adalah untuk menjadikan tahun ini tahun kecemerlangan perkhidmatan awam Kelantan. Beliau berharap agar penjawat awam Kelantan berusaha untuk terus meningkatkan prestasi dan mutu kerja dalam bidang tugas masing-masing serta membudayakan budi bahasa dalam berinteraksi antara kakitangan dan pelanggan.

 

Dalam pada itu juga, beliau turut merakamkan ucapan tahniah di atas pelantikan baru Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato Hj. Nik Kazim Nik Yusoff. Berbekalkan pengalaman sepanjang bertugas di dalam perkhidmatan awam, YAB Ustaz Dato’ Haji Ahmad bin Yakob percaya dan yakin kepimpinan baru ini mampu menggerakkan pentadbiran kerajaan Kelantan dalam memastikan cita-cita dan wawasan yang digariskan berjaya dicapai.

 

Diharapkan dengan perhimpunan sebegini, dapat menyuntik semangat penjawat awam negeri Kelantan untuk terus bersama-sama kerajaan bagi mencipta lebih banyak sejarah kejayaan dalam menuju masa depan yang lebih baik.

 

KOTA BHARU – Dato’ Dr Haji Zainuddin Ibrahim mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan telah menamatkan perkhidmatannya secara rasmi pada 31 Disember 2013 dan tempat beliau telah diganti oleh YB. Dato’ Haji Mohd Faudzi b. Haji Che Mamat yang sebelum ini bertugas sebagai Pegawai Kewangan Negeri.

Dato’ Dr Haji Zainuddin Ibrahim, 60, yang berasal dari Tendong, Pasir Mas, memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir Negeri pada 1978 sebelum dilantik memegang beberapa jawatan penting seperti Timbalan Pegawai Kewangan Negeri, Ketua Jajahan Kota Bharu dan Kuala Krai, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan),

Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian) pada tahun 1977 dan Ijazah Sarjana Perancang Bandar Dan Wilayah pada tahun 1985 dari Universiti Sains Malaysia. Dato’ Dr Haji Zainuddin juga telah dianugerahkan Ijazah Kedoktoran yang membawa gelaran Doktor Falsafah, dalam bidang Perancangan Alam Sekitar dari Universiti Putra Malaysia pada tahun 2008.

Sepanjang beliau menerajui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, pelbagai anugerah dan pengiktirafan telah diraih di atas pencapaian yang cemerlang. Di antaranya ialah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan pernah dianugerahkan 4 Bintang bagi Pengurusan Kewangan berdasarkan Indeks Akauntabiliti pada tahun 2012 dan mendapat pujian daripada Ketua Audit Negara atas pengurusan berhemah dan berintegriti. Dato’ Dr Haji Zainuddin Ibrahim juga telah memperkenalkan konsep housekeeping bagi memantapkan lagi pengurusan dan pentadbiran jabatan dan agensi kerajaan negeri.

Majlis persaraan dan penyerahan tugas oleh Dato’ Dr Haji Zainuddin Ibrahim kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan yang baru, YB. Dato’ Haji Mohd Faudzi b. Haji Che Mamat telah berlangsung di Dewan Bunga Teratai, Kota Darulnaim pada 28 Safar 1435H bersamaan dengan 31 Disember 2013. Majlis bersejarah ini turut disaksikan oleh YAB Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob, Menteri Besar, YB Dato’ Mohd Amar Abdullah, Timbalan Menteri Besar, ahli-ahli EXCO dan Ketua-Ketua Jabatan.

 

Dato’ Dr. Zainuddin Ibrahim dalam ucapannya pada majlis tersebut meluahkan kesyukuran atas sokongan dan kerjasama yang telah diberikan oleh semua pihak sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan dan melahirkan rasa gembira atas perlantikan YB. Dato’ Haji Mohd Faudzi b. Haji Che Mamat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan yang baru. Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi junjung kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan, atas ampuni perkenan Tuanku maka beliau diberi mandat memimpin pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan untuk tempoh dua tahun enam bulan.

 

 

Majlis Sambutan Hari Integriti Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2013 anjuran Urus Setia Integriti dan Inovai Negeri Kelantan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan telah berlangsung pada 2 Disember 2013 di Dewan Bunga Teratai, Kota Darulnaim, Kota Bharu. Seramai 500 orang anggota perkhidmatan awam yang terdiri daripada anggota perkhidmatan awam negeri dan persekutuan telah menghadiri majlis ini. Majlis ini juga turut disertai oleh YB Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO).

Program ini merupakan suatu acara tahunan yang bermatlamat untuk mengingatkan anggota perkhidmatan akan keperluan bagi menghayati dan mengamalkan nilai-nilai integriti. Ucapan aluan telah disampaikan oleh YB Dato’ Dr. Hj. Zainuddin bin Hj. Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Kelantan dan disusuli dengan ucapan utama Majlis Sambutan Hari Integriti oleh YAB Ustaz Dato’ Ahmad bin Yakob, Menteri Besar Kelantan. YAB Ustaz Dato’ menegaskan dalam Islam budaya integriti bukan perkara baru memandangkan Islam sudah lama memperkatakan mengenai amanah, jujur, ikhlas, bertanggungjawab serta adil. Menurutnya juga tanpa integriti dalam melakukan tugas, negara pastinya akan berdepan dengan kehancuran.

 

Seterusnya, majlis diteruskan dengan ceramah khas Hari Integriti bertajuk “Amar Ma’ruf Nahi Mungkar Teras Kepada Integriti” yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Ridhuan Tee bin Abdullah dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan diikuti kemudiannya dengan sesi soal jawab mengenai integriti.

 

Pada awal paginya telah berlangsung lafaz ikrar integriti anggota perkhidmatan awam negeri Kelantan yang diketuai oleh Encik Norhalis bin Mohamad Noor, Penolong Ketua Jajahan (Pengurusan Tanah), Lojing. Pada akhir majlis tersebut, Encik Wan Muhammad Hazam bin Wan Hassan, Penolong Pengarah (Integriti) telah menerima Anugerah Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO).

 

Tuesday, 03 December 2013 08:16

Program Imam Muda Bersama Bank Islam

KOTA BHARU - Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad telah mengadakan Program Ubudiyyah, Mas’uliyyah Dan Itqan (UMI) bersama Imam Muda Hafiz bertempat di Dewan Bunga Teratai pada 17 Muharram 1435H bersamaan 21 November 2013. Tujuan utama diadakan program ini adalah untuk memberi pengertian Hijrah dalam konteks menjalankan tanggungjawab sebagai kakitangan awam, bersesuaian dengan tujuan asal Program UMI iaitu untuk memberi ilmu agama serta membina budaya ilmu yang berterusan di kalangan anggota perkhidmatan awam. Disamping itu, program kerjasama ini juga adalah untuk merapatkan hubungan antara Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan dengan Bank Islam Malaysia Berhad, mengukuhkan lagi imej korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan dan Bank Islam Malaysia Berhad serta untuk memenuhi tanggungjawab sosial dan mendedahkan kepada penjawat awam mengenai perbankan islam.

 

Majlis yang dirasmikan oleh YB Dato Dr. Haji Zainuddin b. Haji Ibrahim Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan ini dihadiri oleh YABhg. Ir Hj Syed Abdul Rahman b. Syed Abdullah Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Kelantan, YBrs En. Ismail b. Taib Pengurus Kanan Kumpulan Perbankan Konsumer Bank Islam Malaysia Berhad, YBrs Pn. Nurul Ain bt. Awang Latip Pengurus Cawangan Bank Islam Malaysia Berhad, , Ketua-ketua Jabatan, Pegawai-pegawai Tadbir serta kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan serta Jabatan Negeri di sekitar Kota Bharu. Dalam ucapan perasmian, YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan berharap agar penjawat awam khususnya Kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan dapat mengambil pengajaran melalui ceramah yang disampaikan dan melakukan penghijrahan dari segi etika kerja. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Bank Islam Malaysia Berhad kerana memilih Kota Darulnaim sebagai destinasi Program Imam Muda.

 

Dalam majlis ini, penceramah jemputan iaitu Imam Muda Hafiz dari program Realiti TV Imam Muda telah menyampaikan ceramah bertajuk Hijrah dan Pengorbanan. Antara intipati ceramah tersebut, beliau dengan jelas menerangkan pengertian dan hikmah hijrah beserta dalil-dalil yang dipetik dari Al-Qur’an dan Hadith sebelum mengaitkannya dengan komitmen dan halatuju gerakerja kakitangan awam dalam konteks semasa. Tegas beliau, hijrah masa kini berbeza dengan hijrah era Mekah dan Madinah pada zaman Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya. Penghijrahan masa kini lebih menjurus kepada meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah SWT.

 

KOTA BHARU: Bekas Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendapat Anugerah Khas Ikon Anak Muda Kelate oleh kerajaan negeri. Anugerah julung kali diadakan itu sempena program Penganugerahan Tokoh Anak Muda Kelate 2013 yang diadakan dua tahun sekali.

Majlis yang penuh bersejarah itu diadakan di Dewan Teratai, Kota Darulnaim di sini tengah hari tadi. Anugerah berkenaan diberikan kepadanya memandangkan beliau sentiasa menjadi idola pada anak muda tanpa mengira bangsa di negara ini. Sementara itu, pemain berbisa pasukan The Red Warriors, Mohammad Badri Mohd Radzi, atau lebih dikenali sebagai ‘Piya’ dianugerahkan Tokoh Sukan. Penyerang di posisi ‘attacking midfielder’ itu juga turut mendapat jolokan ‘Kapten Marvel’.

Sementara itu Tokoh Ulama Muda pula dianugerahkan kepada pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Ustaz Mohd Asri Mat Daud, Tokoh Akademik pula Prof Madya Dr Irfan Mohammad. Selain itu Tokoh Usahawan, Syeikh Kyairder Syamzarey Wan Idris dan Anugerah Khas Murabi Anak Muda Kelate pula dianugerahkan kepada allahyarham Datuk Yahya Othman.

Kerajaan Kelantan turut menghadiahkan wang tunai RM2,000, pakej umrah, plak dan sijil yang ditanda tangani oleh Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob kepada empat orang tokoh tersebut. Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat, Mumtaz Md Nawi dan wakil-wakil rakyat. Ustaz Ahmad ketika berucap pada majlis perasmian itu, berkata kerajaan negeri menganugerahkan beberapa tokoh kepada golongan muda dengan harapan mereka menjadi contoh pada masyarakat khasnya anak muda.

“Kehebatan anak muda dalam beberapa kategori telah dicungkil untuk diberi anugerah khas pada mereka semoga anak muda yang lain ingin menjadikan contoh yang sama,” ujarnya. Sambungnya, kerajaan negeri tidak akan membiarkan golongan itu bersendirian tanpa memandu arah pada jalan kebaikan kerana mereka adalah bakal pentadbir negeri dan negara.

Tegasnya, apa lagi golongan ini mudah dibentuk, ke arah mana mereka ingin dibawa. “Sejarah Islam di zaman Rasulullah telah membuktikan anak-anak muda sebagai perisai kekuatan Islam seperti Saidina Ali, Saidina Omar, Abu Bakar dan sebagainya. “Sahabat baginda ini sewajarnya menjadi contoh bagaimana kehebatan darah muda mereka dimanfaatkan untuk Islam dan masyarakat,” ujarnya. Turut berucap pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Dr Ramli Mamat.

 

Program “Wacana Kesusateraan Melayu dalam Era Teknologi Maklumat”  anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur julung-julung kalinya diadakan bagi menzahirkan usaha komited Jabatan tersebut untuk memastikan rakyat di negeri ini terutramanya dalam kalangan  penulis mahupun sasterawan bagi memaksimumkan penggunaan teknologi maklumat sejajar dengan perkembangan dunia tanpa sempadan pada hari ini.

Majlis tersebut berlangsung di Dewan Bunga Teratai, Kompleks Kota Darulnaim pada 6 Oktober lepas.

Sasterawan Negara, Dato’ Dr. Anuar Hj. Ridhwan telah didatang khas dalam majlis tersebut bagi menyampaikan wacana beliau sebagai perkongsian ilmu yang berharga dan bermanfaat mengenai sastera dan aplikasi teknologi maklumat.

Turut hadir dalam majlis tersebut Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, En. Azmi Ibrahim, Pengarah Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan , Hj. Nor Azman Abdul Ghani, serta Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas selaku ahli panel dan Prof. Dr. Haron Daud dari Universiti Malaysia Kelantan selaku moderator.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti, Dan Teknologi Maklumat, Haji Hanifa Ahmad ketika dijemput bagi merasmikan wacana tersebut berkata, program seumpama ini perlu diteruskan secara serius untuk memperkukuh konsep sastera disamping keperihatinan dan sokongan daripada semua pihak bagi menyubur dan menggalakkan penggunaan teknologi dalam kalangan sasterawan tempatan dalam usaha memartabatkan karya sastera melayu dipersada antarabangsa.

Menurut Timbalan Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Ismail  Samah, Teknologi maklumat dianggap sebagai pemangkin utama dalam proses transformasi yang dapat disaksikan pada zaman serba pantas dan cepat berubah pada masa kini dan ini bersesuaian dengan konsep bahasa dan teknologi maklumat digabungkan bersama bagi mewujudkan satu fenomena yang baharu iaitu dengan “membudayakan sastera dalam ict”.

 

Pada 18 & 19 September 2013 telah berlangsung Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Sektor Awam Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2013 di Dewan Bunga Teratai, Kota Darulnaim.

Sebanyak enam belas buah kumpulan KIK daripada jabatan-jabatan/agensi-agensi kerajaan negeri Kelantan telah menyertai konvensyen berkenaan, melibatkan kategori Pengurusan dan Teknikal. Enam kumpulan KIK daripada kategori Pengurusan dan sepuluh kumpulan KIK daripada kategori Teknikal telah mempersembahkan projek masing-masing.

Johan kategori Pengurusan disandang oleh Kumpulan Seroja daripada Bahagian Penguatkuasaan, Majlis Perbandaran Kota Bharu - BRI. Kumpulan KIK Global daripada Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam meraih tempat kedua. Tempat ketiga disandang oleh Kumpulan Emas daripada Jabatan Penilaian, Majlis Daerah Kota Bharu – BRI. Manakala Kumpulan Teknikal, johan disandang oleh Kumpulan i-Kreatif daripada Perbadanan Perpustakaan Negeri Kelantan. Naib johan disandang oleh Kumpulan Suria daripada Jabatan Veterinar Negeri Kelantan dan tempat ketiga dimenangi Kumpulan Humus daripada Bahagian Lanskap, Majlis Perbandaran Kota Bharu – BRI.

Majlis Penutup dan penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Tuan Haji Norazman bin Abd. Ghani, Pengarah Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan yang mewakili YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan. Johan setiap ketogori menerima wang tunai sebanyak RM 2000, naib johan mendapat RM 1000 dan tempat ketiga mendapat RM 500 berserta sijil penghargaan.

Johan bagi kedua-dua ketegori dalam konvensyen KIK pada kali ini, iaitu Kumpulan i-Kreatif daripada Perpustakaan Awam Negeri Kelantan dan Kumpulan Seroja daripada Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam akan mewakili negeri Kelantan ke Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Perkhidmatan Awam Peringkat Kebangsaan ke 30 Tahun 2013 yang akan diadakan pada 5 hingga 7 November 2013 di Pulau Langkawi, Kedah.

 

 

KOTA DARULNAIM- Penilaian Penarafan Bintang bagi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan bagi tahun 2012 telah berlangsung pada 4 dan 5 September 2013 di Bilik Gerakan Negeri Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan. Selaras dengan Moto Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan iaitu SUK ke arah ‘World Class’ 2018 Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa berusaha untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan ke tahap yang lebih kecemerlangan bagi penjawat awam dari masa ke semasa selaras dengan misi Kerajaan iaitu ‘Budaya Kerja Berprestasi Tinggi’. Menurut MAMPU semenjak Penilaian Penarafan Bintang diperkenalkan, persaingan sihat antara agensi-agensi sektor awam telah membantu meningkatkan penghasilan amalan baik yang boleh dicontohi agensi-agensi lain.

 

Sesi Penilaian Star Rating yang diadakan selama dua hari dimulai dengan taklimat yang diberikan oleh YABhg Dato’ Haji Ismail Bin Samah Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) mengenai kriteria-kriteria yang dinilai oleh MAMPU. Pada tahun ini terdapat kelainan yang dilakukan oleh pihak MAMPU di mana pihak SUK Kelantan perlu menjawab soalan dan menghantar lampiran melalui Portal MAMPU yang mana sebelum ini dilakukan secara manual oleh pihak MAMPU. Bagi memenuhi kehendak MAMPU Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan telah merangka 11 plan iaitu Pelan Strategik SUK 2012-2018, Pelan Pengurusan Risiko, Pelan Integriti Organisasi, Pelan Strategi Pengurusan Sumber Manusia, Pelan Tindakan Inovasi, Pelan Operasi Latihan (POL), Pelan Pengurusan Strategik (ICT), Pelan Komunikasi Krisis, Pelan Tindakan Kecemasan, Pelan Pemulihan Bencana dan Pelan Kesinambungan Perkhidmatan. Selain itu pemeriksaan dan penilaian juga turut dilaksanakan terhadap program inovasi, program perekayasaan dan program amalan baik.

 

Sesi penilaian yang berlangsung selama dua hari yang diwakili oleh lapan orang pegawai dari MAMPU ini diakhiri dengan majlis penutup yang berlangsung pada 5 September 2013 di Bilik Gerakan Negeri SUK Kelantan di mana penal dari MAMPU telah membuat rumusan terhadap penilaian yang dilakukan.

 

Tuesday, 03 September 2013 08:35

Majlis IFTOR Maei Qiam With Me 1434H/2013

Kota Bharu – Bagi meneruskan kesinambungan majlis yang julung kalinya diadakan pada tahun 2012, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V sekali lagi telah berangkat bagi menjayakan Majlis  IFTOR Maei Qiam With Me 1434H/2013 yang telah dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) bersama Pertubuhan Kerabat Di Raja Kelantan Al-Muhammadi dan Majlis Perbandaran Kota Bharu – BRI (MPKB-BRI). Program ini telah berlangsung pada 26 & 27 Ramadan 1434 bersamaan 4 & 5 Ogos 2013 di Dewan Jubli Perak, Istana Negeri di Kubang Kerian.

Majlis bermula seawal jam 7.30 malam yang didahului dengan Majlis Berbuka Puasa diikuti dengan Solat Fardhu Maghrib dan diteruskan dengan Program Santapan Malam Bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V dan Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan. Program tersebut telah diteruskan lagi dengan Solat Fardhu Isyak dan Solat Sunat Terawih. Baginda juga turut perkenan mengurniakan zakat kepada 1434 Asnaf sebanyak RM200.00 setiap seorang bagi meringankan beban mereka dalam persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Y.A.B. Ustaz Dato’ Ahmad bin Yaakob, Menteri Besar Kelantan, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Kerabat Diraja, Pembesar-Pembesar Negeri dan rakyat jelata.

Dalam majlis tersebut, ceramah agama turut disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus dan acara kemuncaknya adalah Qiamullail Bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V dan majlis diakhiri dengan Program Bersahur dan Solat Fardhu Subuh secara berjemaah.

(6 SYAWAL 1434H/13 OGOS 2013)

<< Start < Prev 1 2 3 4 5 6 Next > End >>
Page 1 of 6